Tuesday, January 26, 2010

Rahsia Ibadah Korban

Rahsia Ibadah Korban
Khutbah Aidiladha - 31 Disember 2006
Sumber: Jabatan Ugama Islam Selangor (JAIS)


Khutbah Pertama:
Kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Di pagi hari yang penuh hikmah lagi syahdu ini, seiring gema takbir, tahlil dan tahmid yang berkumandang sepanjang malam hingga ke pagi hari ini, mengimbau dan membangkitkan kesedaran serta keinsafan kaum muslimin terhadap nikmat-nikmat Allah S.W.T yang diberi kepadanya, kepada hamba-hambaNya sehingga tidak dapat dihisab. Oleh itu, marilah kita memanjatkan sepenuh pujian, syukur ke hadrat Ilahi di atas anugerah nikmat yang tidak terhingga. Selanjutnya, marilah dengan sebenar benar takwa kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam sejahtera sentiasa dilimpahkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, yang dibangkitkan bersamanya Islam, satu-satunya agama yang diredhai Allah S.W.T.


Kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Aidiladha juga disebut sebagai Hari Raya Korban. Pada hari ini dan tiga hari berikutnya, umat Islam disunatkan menyembelih binatang korban, di mana sebahagian daripada daging sembelihan itu diagih-agihkan kepada fakir miskin.

Ingatlah bahawa Allah S.W.T pernah menguji Nabi Ibrahim a.s, seorang nabi yang dikenali sangat patuh kepada perintah Allah S.W.T dan seorang dermawan. Baginda bersedia menyedekahkan apa jua harta yang dimilikinya, malah apabila diperintahkan oleh Allah S.W.T supaya mengorbankan anaknya Ismail, baginda sanggup berbuat demikian, demi pengabdian dirinya kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa.

Meskipun terlalu menyayangi anaknya Ismail, namun setelah menerima perintah yang diwahyukan melalui mimpi itu benar-benar meyakinkannya dan nyata daripada Allah S.W.T, lantas baginda terus melaksanakannya dengan penuh ikhlas dan pasrah terhadap Ilahi Tuhan sekalian alam.

Sifat tulus dan pasrah untuk melaksanakan korban tersebut telah dipersetujui oleh anaknya untuk menyerahkan jasad yang sangat besar ertinya kepada Allah Yang Maha Esa. Hinggakan Allah S.W.T mengabdikan peristiwa tersebut sebagai pengajaran kepada umat-umat dan generasi selepas baginda a.s. Maka pengabdian dan keikhlasan dalam melaksanakan penyembelihan tersebut dikenali dengan istilah "Korban". Kerana itu, pada aidiladha umat Islam digalakkan untuk berkorban dengan menyembelih binatang yang hukumnya adalah sunat muakkad. Merupakan hukum sunat yang hampir-hampir menyamai wajib.

Perbuatan Rasulullah S.A.W seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah, Abu Daud dan lain-lainnya menyatakan bahawa setiap Hari Raya Adha, Rasulullah S.A.W menyembelih dua ekor kambing yang gemuk, bertanduk dan berbulu putih bersih. Baginda mengimami sembahyang dan berkhutbah, sesudah itu baginda memegang kambing berkenaan dan bersedia untuk menyembelih, lalu berdoa:

"Ya Allah, terimalah ini dari Muhammad dan ahli keluarga Muhammad."

Kemudian baginda menyembelihnya. Sesudah itu baginda membaringkan kambing yang lagi satu dan berdoa:

"Ya Allah, terimalah ini daripada Muhammad dan umatku".

Sebahagian dagingnya dimakan oleh baginda dan keluarganya, dan sebahagian yang lain dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.

Jelaslah, peristiwa besar yang berlaku kepada Nabi Ibrahim dan puteranya Ismail, yang berlaku ribuan tahun silam itu dilaksanakan oleh baginda a.s dan disyariatkan bagi umat baginda, dengan motif sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Sesungguhnya, kami telah mengurniakan kepadamu(wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak, maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban(sebagai tanda bersyukur). Sesungguhnya orang yang membenci kamu, dialah orang yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diinginkannya)".
-Surah Al-Kauthar:Ayat 1-3

Dalam perlaksanaannya, amalan korban dapat mendorong wujudnya erti kehidupan bagi manusia, sebagai individu yang patuh kepada Allah S.W.T, mengamalkan satu tanggungjawab sosial terhadap fakir miskin. Cara dan kaedah korban yang disyariatkan oleh Islam mengubah cara korban yang batil, di mana ada masyarakat yang menyembelih binatang untuk penunggu-penunggu yang dianggap sebagai pelindung, pemberi rezeki, darah sembelihan tersebut dijadikan bahan simah dan sebahagian daripada anggota binatang tersebut diletakkan di tempat-tempat tertentu. Sesungguhnya Allah S.W.T melarang perbuatan menyembelih haiwan bagi tujuan pemujaan, seperti adab memuja pantai, sembelihan untuk membuka gelanggang persilatan dan sebagainya. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Maka makanlah kamu akan daging binatang korban itu dan berilah makan kepada orang susah, yang fakir miskin."
-Surah Al-Haj:Ayat 28


Allhuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamdu,
Kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Aspek kemanusiaan pada ibadah korban begitu jelas dinyatakan. Namun amalan tersebut hilang nilainya di hadapan Allah S.W.T , sekiranya ia tidak dilaksanakan atas dasar iman dan takwa kepada Allah S.W.T. Ia perlu dilakukan dengan rasa redha dan ikhlas bukan untuk mencari populariti, ingin dipuji, disanjung dan diagung-agungkan oleh orang lain, kerana yang akan sampai kepada Allah S.W.T bukanlah darah dan dagingnya, tetapi ketakwaan jua. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Daging atau darah binatang korban atau hadiah itu tidak akan sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas, yang berdasarkan takwa dari kamu."
Surah Al-Haj: Ayat 37

Sebenarnya pembahagian daging korban mengandungi makna sebagai cara untuk mendekatkan hubungan antara orang kaya dan miskin, antara orang berada dengan orang yang serba kekurangan. Malah ibadah korban adalah wahana penghubung yang dilandaskan rasa kemanusiaan, sehingga boleh menimbulkan rasa kasih dan simpati sesama manusia. Maka inilah ibadah yang menggambarkan syariat Islam, di mana manusia dapat mendekati Allah S.W.T atau "bertaqarrub" kepadanya apabila hamba berkenaan mendekati saudara-saudaranya yang berada dalam kesusahan.

Allhuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamdu,
Kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Peristiwa korban merupakan penggerak penting dalam kehidupan beragama yang mengandungi implikasi sosial, terutama kaum muslimin yang memiliki kekayaan dan pendapatan melebihi keperluan hidupnya, agar dapat menyumbangkan sebahagian daripada hartanya dalam bentuk korban penyembelihan dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah, khususnya kepada mereka yang dibelenggu kemiskinan.

Iman dan takwa yang menguasai diri Nabi Ibrahim a.s. melahirkan rasa ikhlas dan redha untuk berkorban, dengan menyembelih anaknya, lalu akhirnya Allah menggantikannya dengan sembelihan yang lain. Amalan ini menjadi satu amalan ibadat, iaitu sunat muakkad, sebagai satu tanggungjawab di antara umat Islam.

Sesungguhnya, sesuatu bangsa yang maju, moden lagi bertamadun, adalah tertakluk kepada pemerintah, juga pemimpin yang sedia berkorban menyediakan kemudahan pendidikan untuk rakyat, menyediakan sekolah, guru-guru, kemudahan asas, jalan raya, air dan api, juga lain-lain kemudahan dalam membentuk negara maju. Sesungguhnya, usaha-usaha atau pengorbanan seperti ini yang melibatkan jutaan ringgit dan keringat yang diperah tidak akan berjaya, sekiranya ibu bapa atau masyarakat umum tidak sedia berkorban atau tidak serius mendidik anak-anak.

Umat Islam perlu mengambil iktibar daripada pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s, yang patuh sepenuh hati dengan rasa takwa dan dengan rela hati bersedia mengorbankan atau menyembelih anaknya. Begitu juga pengorbanan yang dilakukan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang berkorban demi agamanya, diikuti oleh para khalifah selepasnya, para sahabat, tabii, tabiin dan lain-lain lagi. Hanya dengan pengorbanan dan jihad seperti yang dilalui oleh pejuang-pejuang terdahulu, maka Islam akan menjadi unggul semula dan dihormati oleh mereka yang bukan Islam di persada dunia antarabangsa.

Rasulullah S.A.W seperti yang disebut dalam sebuah hadis pernah menyatakan kebimbangannya, di mana pada satu ketika kelak, umat Islam akan menjadi satu bahan keroyokan seperti orang yang sedang kelaparan mengerumuni sajian, yang menjadi bahan keroyokan itu adalah umat Islam. Yang mengeroyok ialah musuh-musuh bukan Islam, semuanya ini sama ada kita sedar atau pun tidak ianya tetap sedang berlaku. Kalau dahulu komunis diwarwarkan sebagai ancaman, sekarang Islam dilabelkan sebagai pengancam yang amat berbahaya. Para sahabat pernah bertanya kepada baginda S.A.W. tentang kebimbangannya "Adakah kerana bilangan kami sedikit ketika itu"? Baginda menjawab:"Tidak, bahkan bilangan kamu banyak ketika itu. Namun kamu seumpama buih, seperti buih-buih di air bah"? Sehubungan dengan itu baginda pun bersabda yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya Allah mencabut dari dada musuh-musuh kamu rasa hebat atau gerun terhadap diri kamu. Dan Allah S.W.T akan memasukkan dalam hati-hati kamu "Al-Wahnu". Sesetengah sahabat bertanya: "Apakah yang dimaksudkan dengan "Al-Wahnu" itu wahai Rasulullah?". Baginda menjawab: "Terlalu cintakan dunia dan takutkan mati".
-Riwayat Abu Daud

Hadis ini merupakan satu tamparan hebat kepada umat Islam, dan merupakan satu jalan keluar untuk mengatasi kemelut yang sedang melanda umat Islam sekarang ini. Caranya ialah dengan kembali kepada ajaran Allah S.W.T, sedia berkorban dan berjuang.

Pengorbanan, perjuangan dan jihad, tidak akan lahir dalam diri seseorang, kecuali dengan adanya sifat takwa, lahir daripada iman atau ibadah yang dilakukan. Keikhlasan tidak akan timbul kecuali dengan adanya ilmu. Itulah yang dimaksudkan dengan ?Modal Insan?.


Khutbah Kedua:
(Surah Al-Haj: Ayat 27-28 )
(Takbir)

Allhuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamdu,
Kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya nafsu manusia itu lebih berkecenderungan melakukan kejahatan, berbanding dengan kecenderungan melakukan kebaikan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
-Surah Yusuf:Ayat 53

Kebanyakan manusia tidak terlepas daripada bersifat tamak. Sekiraanya dikurniakan dua lembah emas sekali pun, mereka mahukan lagi tiga lembah dan tidak akan puasa nafsu atau tembolok manusia itu, kecuali dengan mati. Mati menyekat sifat tamak manusia. Hanya sekiranya apabila seseorang itu berupaya melakukan sembahyang seperti yang difardukan, maka tabiat yang buruk tadi, iaitu kecenderungan melakukan kejahatan, rasa resah gelisah dan tamak itu akan dapat diatasi, kerana sembahyang sahajalah dapat menggambarkan kesempurnaan atau kecacatan iman seseorang.

Sesungguhnya perkara yang mula-mula sekali ditanya oleh Allah S.W.T ialah tentang sembahyang. Sekiranya sembahyang yang kita lakukan itu diterima Allah, maka akan diterimalah seluruh amalan kita, jika sebaliknya, maka seluruh amalan-amalan lain akan ditolak oleh Allah S.W.T.


Allhuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamdu,
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Adalah terlalu malang bagi umat Islam berbangsa Melayu, yang dididik menganut agama yang diredhai Allah, menjadi juara pelbagai masalah social di Negara yang kita cintai ini.

Menurut statistik Agensi Dadah Kebangsaan 1999 sehingga 2004, bilangan orang Melayu yang terlibat dengan dadah ialah seramai 14,702 orang berbanding dengan bangsa Cina seramai 2,625 orang, iaitu sebanyak enam kali ganda. Sebagai contoh, pada tahun 2005 polis daerah Kajang telah menangkap penagih dadah yang berbangsa Melayu seramai 468 orang, berbanding dengan penagih berbangsa Cina seramai 62 orang, iaitu lapan kali ganda. Remaja yang terlibat dengan kegiatan mencuri, merompak, peras ugut, rogol dan sebagainya bagi tahun 2004 berjumlah 67.9% adalah terdiri daripada bangsa Melayu, 11.5% adalah berbangsa cina, iaitu 5.9 kali ganda melebihi bilangan orang Cina. Selain itu juga pelajar yang lari dari sekolah 100% adalah anak-anak melayu kita.

Analisis yang dilakukan menunjukkan bahawa anak-anak Melayu yang terlibat dengan dadah adalah berpunca untuk: berseronok-seronok, pengaruh kawan yang liar, perasaan ingin mencuba atau dorongan ingin tahu dan juga dituruti oleh faktor-faktor yang lain.

Analisis terhadap sumbang mahram, seperti bapa kandung yang merogol anak, bapa saudara yang merogol anak saudara, bapa tiri yang merogol anak tiri menunjukkan 70.2% dilakukan oleh orang Melayu, manakala bangsa Cina adalah sebanyak 7.1%. Ini menunjukkan kurangnya bangsa-bangsa lain yang melakukan perkara sumbang seperti ini.

Masalah terkini yang melibatkan perlumbaan motor haram, yang dipanggil sebagai "mat rempit", menunjukkan 48% melibatkan anak-anak muda Melayu, manakala 30% adalah di kalangan pemuda Cina. Sebahagian daripada mereka berpendapatan kurang daripada RM600.00. Banyak punca menyebabkan anak-anak Melayu terlibat dengan kegiatan ini, iaitu kerana tekanan hidup, melepaskan perasaan marah, untuk berseronok-seronok, meluahkan emosi, melepaskan tension atau cemas. Punca lain ialah ganjaran yang ditawarkan oleh penganjur, kesan ganja dan pil khayal bahkan sebahagian daripada mereka terlibat dengan kegiatan mencuri motorsikal.

Melihatkan keadaan ini, amat malang bagi penganut beragama Islam yang diiktiraf oleh Allah S.W.T, menjadi golongan yang paling ramai terlibat dengan masalah sosial. Keadaan sedemikian menimbulkan berbagai persoalan dalam diri kita, seolah-olah membiarkannya berlalu begitu sahaja.

Perlu kita sedari bahawa Islam memfardukan setiap hambanya agar mengerjakan solat kerana solat dapat mencegah kita daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Allah S.W.T mewajibkan setiap umat Islam agar berpuasa di bulan Ramadhan, supaya mereka bertakwa. Begitu juga dengan ibadat-ibadat lain yang mempunyai rahsia ketuhanan yang tidak mudah difahami falsafahnya, kecuali oleh mereka yang berilmu. Sayangnya, seperti yang dijelaskan, ternyata bahawa bilangan mereka yang terlibat dengan masalah sosial ialah orang yang beragama Islam. Fenomena ini seolah-olah menggambarkan bahawa mereka yang berpegang kepada agama yang sempurna ini lemah dan tidak dapat mengawal kehendak emosi mereka sendiri.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya, Selagi kamu berpegang-teguh kepada keduanya, iaitu ajaran Al-Quran dan amalan Rasulullah S.A.W."
-Riwayat Malik


Allhuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamdu,
Kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Untuk mengatasi kemelut yang sedang berlaku ini, kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar. Buangkan sikap yang terlalu mencintai dunia, sehingga melupai akhirat. Berkorbanlah demi masa depan bangsa, agama dan negara yang tercinta. Semua ini tidak akan dapat dilaksanakan kecuali disertai oleh rasa ikhlas dan pasrah diri semata-mata kerana Allah S.W.T., ta'abbud keranaNya, malah sanggup berkorban seperti pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. ketika mengorbankan anaknya Ismail a.s.

Ya Allah,

Lindungilah agama kami dari musuh-musuh-Mu, berilah kami kekuatan untuk berfikir dan bertindak demi agama Mu, peliharalah jua negara kami, semoga ia terus di bawah naungan Mu, negeri yang tercinta, Selangor Darul Ehsan.

Limpahkanlah kemakmuran ke atas buminya, hindarkan daripada segala bala, jadikanlah rakyatnya sentiasa bersatu padu, mahabbah yang kekal abadi, berilmu dan berakhlak mulia, taat kepadaMu dan menghormati Raja yang berperlembagaan yang kami kasihi.

Anugerahkanlah taufik dan hidayahMu kepada pemimpin kami, tanamkan dalam sanubari mereka sepenuh akhlak dan bertakwa kepadaMu, selamatkanlah kami daripada segala kemusnahan dan pancaroba yang mendatang.

Sumber: Laman web Jabatan Ugama Islam Selangor

Monday, December 8, 2008

Majlis Korban Di Kampung Bendang Kering, Kuala Kangsar, Perak

Mukaddimah

Pada tahun ini 2008 sebanyak 8 ekor lembu telah dikorbankan oleh penduduk Bendang Kering, Kuala Kangsar Perak. Difahamkan, ia adalah korban yang paling banyak berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini. Pengumuman resmi bagi menyembelih lembu (dan seekor biri-biri dibuat) dibuat oleh pihak masjid, iaitu sebaik-baik tamat Sembahyang Aidiladha. Pihak masjid memohon orang kampung segera datang semula ke kawasan masjid dengan seberapa bagi menyelesaikan majlis korban.

menumbang lembu

Menumbangkan Lembu

Langkah pertama proses korban ialah menumbangkan lembu yang diikat pada pokok...
Ia memerlukan strategi dan kebijaksanaan bagi menjatuhkan badan lembu. Ia bukan kerja senang. Beberapa orang akan berusaha menjatuhkan lembu iaitu mulanya dengan menarik sebelah daripada kaki atau tangan lembu dengan tali supaya hilang keseimbangan badan. Apabila lembu dah tergolek, maka kerja selanjutnya ialah mengikat kedua-dua belah tangan dan mulut supaya senang disembelih.

menumbang lembu
Lembu yang berjaya ditumbangkan perlu diikat tangan dan kakinya

ikat kaki dan tangan lembu
Tengok, mereka berusaha untuk mengikat kaki dan tangan lembu...

ikat mulut lembu
Mulut lembu juga perlu diikat...

gambar lembu diikat kaki dan tangan
Tengok...kaki dan tangan lembu yang berjaya diikatkan...

Penyembelihan

Sebuah lubang kecil akan disediakan sebagai tempat darah bertakung. Lembu akan disembelihkan dekat lubang tersebut. Kerja-kerja penyembelihan biasa berjalan dengan mudah dan lancar.

saat disembelihkan
Saat-saat lembu sedang disembelihkan..

darah merah yang mengalir
Darah sembelihan akan mengalir ke dalam lubang yang telah digali...

lembu disembelihkan
Lagi gambar lembu disembelih...

gambar ekslusif lembu disembelihkan
Lagi gambar ekslusif lembu disembelih...

baru saje sembelih
Lagi gambar lembu yang baru disembelihkan

Membuang Kulit Lembu

Apabila lembu telah disembelihkan, dan 15 atau 20 minit kemudian, kerja-kerja melapah lembu akan dijalankan. Ia dimulakan dengan mengasingkan kulit daripada badan.

tanggalkan kulit lembu
Sebelum lembu dilapah, proses pertama ialah menanggalkan kulit lembu daripada badannya...

tanggalkan kulit lembu
Tengok,bagaimana kulit lembu dipisahkan daripada badannya...

daging lembu korban dilapah
Gambar-gambar ekslusif lembu dilapah

perut lembu
Perut lembu yang berjaya diasingkan. Kalau tersilap kena mata pisau, maka terkeluarkan segala benda dalam perutnya...makanan dan baunya yang enak!

Memotong Besar Bahagian-Bahagian Lembu

Apabila kulit lembu telah dipisahkan, kepala telah dipotong dan perut telah diasingkan, maka badan-badan lembu seperti badan, peha dan kaki akan dipotong dan dihantar ke khemah. Di khemah, bahagian-bahagian lembu akan dipotong lebih kecil lagi supaya senang dibungkuskan.

peha lembu digantung
Bahagian-bahagian badan lembu digantung sebelum dipotong-potong

memotong daging
Peringkat memotong daging ke saiz lebih kecil daripada peha lembu...

memotong kepala lembu
Pak Long tengok Pakcik ini asyik melapah kepala lembu saje!

memotong kepala lembu
Cuba kira ada berapa kepala lembu dekat Pakcik ni?

lubang membuat sisa lembu
Lubang turut digali bagi membuang perut lembu, bahan-bahan buangan lembu dan sampah makanan

perut lembu sedap dibuat sate
Perut lembu kalau dah dibersihkan memang sedap dibuat gulai cili api atau sate perut!

Memotong Kecil Daging Lembu

Biasa ramai yang menolong bagi memotong kecil daging. Daging, hati, limpa dan tulang akan diasing-asingkan supaya kerja membungkus daging korban dapat dibuat dengan mudah dan adil kepada penerimanya. Apabila telah dipotong, daging akan ditimbang mengikut kilo yang ditetapkan dan kemudian dimasukkan ke dalam beg plastik.

memotong kecil daging lembu
Memotong daging kecil-kecil sebelum dimasukkan ke dalam plastik

daging ditimbang sekilo-sekilo
Daging-daging yang telah dipotong kecil, ditimbang sekilo-kilo dan dimasukkan ke dalam beg plastik

makanan untuk pekerja korban
Makanan juga disediakan kepada mereka yang terlibat dengan kerja-kerja korban

kampung bendang kering
Pemandangan menyeluruh akviti korban di Kampung Bendang Kering

Pengedaran Daging Korban Kepada Orang Kampung

Beberapa ketua telah dilantik peringkat perancangan majlis korban. Ketua-ketua ini mempunyai senarai nama orang-orang kampung yang akan menerima daging korban. Ketua-ketua ini akan mengambil bungkusan daging dan seterusnya mengedarkan kepada orang kampung tersebut. Untuk makluman, pekerja-pekerja yang terlibat secara langsung dengan kerja korban juga akan mendapat bungkusan daging.

bungkusan daging korban
Bungkusan-bungkusan daging korban tersusun sebelum diagih-agihkan kepada orang kampung


Pak Yang bergambar dengan daging korban
Biasa satu pertiga daripada daging diambil oleh tuan punya korban dan ia akan dimasak dan dibuat kenduri

dapat tulang pun tak apalah
Acu Lan dengan tulang lembu yang berjaya dimenanginya...

pisau ini yang memotong lembu
Dengan pisau ini lapan ekor lembu berjaya ditumbangkan

adila dan cousin-cousin
Dila dengan dua orang Pak Pacak yang menjadi pengiring peribadi beliau semasa menghadiri Majlis Korban

cucu-cucu Hj Saidon
Gambar Kenang-Kenangan Majlis Korban--lihatlah cucu-cucu perempuan Hj Saidon yang cun-cun

Cucu-cucu Hj Saidon
Cucu-cucu Hj Saidon turut memeriahkan majlis korban. Hai dua cucu lelaki Hj Saidon pun tumpang bergambar...

Cucu-cucu Hj Saidon
Cucu-cucu Hj Saidon di depan daging sembelihan


jantung lembu
Hai terkenangkan buah jantung hatinya


jantung lembu
Effi: Inilah jantungku sama seperti sebiji jantung lembu...

kepala lembu
Bergambar dengan kepala lembu yang berjaya disembelih oleh tiga orang cucu Hj Saidon

cucu-cucu Hj Saidon
Ina yang sentiasa tersenyum


Dila dan cousin-cousin
Dila dan cousin-cousin


Zati dan Mama semasa Hari Raya Korban
Zati dan Mama


How to Become Professional Blogger

Direktori Blogger Malaysia | Himpunan Blog Warga Malaysia

Sponsor Link
Why Blog? The Purpose of Blogging